Ahmad Zahid Terima Kunjungan Hormat Ulama Hadis Terkemuka Jordan
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat daripada tokoh ulama hadis terkenal dari Jordan, Syeikh Dr. Hammam Said, di Parlimen.
Kunjungan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan atas usaha Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah menterjemah sebanyak 3,200 hadis ke dalam Bahasa Melayu.

“Dalam pertemuan ini, beliau turut menyarankan agar karya agung tersebut turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.
“Saya telah menzahirkan penghargaan dan komitmen untuk berbincang lanjut bersama DBP bagi merealisasikan cadangan ini,” ujar Ahmad Zahid melalui hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut berkongsi mengenai usaha kerajaan memperkasakan institusi tahfiz di Malaysia melalui pendekatan TVET Tahfiz, yang memberi peluang kepada para huffaz untuk menguasai ilmu agama dan kemahiran profesional dalam bidang kejuruteraan serta teknologi.
Jelasnya, Syeikh Dr. Hammam Said menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai amanah besar dalam melahirkan pemimpin umat yang seimbang antara iman dan ilmu.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Syeikh Dr. Hammam Said atas masa dan komitmen beliau, sambil menzahirkan harapan agar hubungan keilmuan antara Malaysia dan Jordan terus diperkukuh demi manfaat ummah seluruhnya. – UMNO Online
