Malaysia Komited Perkukuh Ekosistem Pendidikan Serantau ASEAN – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 27 Okt — Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, komited untuk bekerjasama dan berganding bahu dengan negara-negara anggota dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serantau bagi memacu kemajuan bersama rantau ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serantau amat penting bagi memastikan sistem pendidikan di ASEAN kekal relevan, dinamik dan selari dengan keperluan dunia semasa yang semakin mencabar.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk “Educating ASEAN – Aligning Policy, Talent, and Innovation with Regional Growth” sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan ASEAN Business and Investment Summit (ABIS) 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN lain dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serantau, memperluas mobiliti pelajar, serta memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi demi kemajuan bersama rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini giat melaksanakan pelbagai reformasi dalam sistem pendidikan tinggi agar kekal relevan dan berupaya melahirkan graduan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.
Katanya, ini termasuk memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama merentas kementerian dan agensi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Dr. Zambry turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan pemangkin utama kepada perubahan kehidupan seseorang serta kunci kepada pembinaan masa depan yang lebih baik.
“Melalui pendidikan, seseorang mampu meningkatkan taraf hidup, membina keluarga yang lebih sejahtera dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang maju serta berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Monash University Malaysia dan pihak penganjur ABIS 2025 atas penganjuran forum yang menyediakan platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan dan inovasi di peringkat ASEAN. – UMNO Online
