Pemantauan, Penguatkuasaan Pelanggaran Syarat Pas Warga Asing Terus Dilaksana

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat pas atau aktiviti jenayah oleh warga asing yang dibenarkan menetap di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggu UMNO berkata walaupun kerajaan menyediakan kemudahan pas jangka panjang seperti Malaysia My Second Home (MM2H) bertujuan menarik pelaburan dan penduduk berkualiti namun pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan.

Menurut beliau ia bagi memastikan individu-individu yang diberikan pas tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengancam kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Setiap permohonan pas jangka panjang, termasuk pengeluaran Pas MM2H, perlu melalui proses kelulusan di peringkat Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Kanan dan setiap permohonan diwajibkan menjalani tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Proses ini penting untuk mengesan sebarang rekod jenayah domestik.

“Di samping itu, saringan turut melibatkan proses tapisan keselamatan silang dengan agensi-agensi keselamatan dan risikan negara untuk mengesan ancaman strategik, ekstremisme, atau jenayah terancang antarabangsa. Ini memastikan setiap kelulusan dinilai secara holistik dan berisiko rendah,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika ditanya Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat yang meminta menyatakan langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang diambil terhadap warga asing yang telah diberikan visa jangka panjang atau yang terlibat dengan program MM2H agar mematuhi undang-undang negara.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Lenggong itu berkata pemohon pas jangka Panjang MM2H diwajibkan mengemukakan Letter of Good Conduct (LOGC) dari agensi penguatkuasaan negara asal mereka sebagai bukti pemohon tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara asal dan juga bukti integriti peribadi dan berkelakuan baik pemohon.

“Pengeluaran pas jangka panjang adalah untuk tempoh maksimum lima tahun sahaja dan bukan pas seumur hidup.

“Sebarang permohonan pembaharuan pas akan dinilai semula prestasinya. Semasa proses penilaian ini, aspek keselamatan kepada negara akan menjadi kriteria utama. Jika terdapat keraguan, rekod negatif, atau ancaman dikesan, permohonan pembaharuan pas akan ditolak.

“Di samping itu, agensi keselamatan terus menjalankan pemantauan berterusan terhadap aktiviti pemegang visa jangka panjang,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO