Azman Tempelak Muhyiddin, Jangan Politikkan Hubungan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menempelak kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa sambutan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai keterlaluan dan memalukan Malaysia.

Tegasnya, kenyataan tersebut ternyata bersifat populis, cetek dari sudut diplomasi, dan mengabaikan konteks sebenar hubungan antarabangsa.

“Sebagai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin seharusnya lebih memahami erti protokol dan diplomasi. Cubaan beliau menunggang isu ini untuk kepentingan politik hanya menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Negara memerlukan suara yang matang dan berpandangan jauh, bukan kenyataan bersifat emosi yang hanya menanam kebencian.

“Trump hadir ke Malaysia secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat sempena sidang kemuncak ASEAN, di mana Malaysia bertindak sebagai Pengerusi dan tuan rumah. Sambutan yang diberikan tidak keterlaluan atau melampau, sebaliknya menonjolkan budaya dan adat Malaysia sebagai negara yang beradab dan menghormati tetamu.

“Menari dan mempersembahkan elemen seni budaya tempatan bukan simbol tunduk, tetapi cara Malaysia memperkenalkan keunikan bangsa dan nilai sopan santun kita kepada dunia. Inilah identiti Malaysia yang berprinsip, berbudaya dan bermaruah,” katanya menerusi satu hantaran.

Tambah beliau, Malaysia kekal tegas dan konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, menolak kekejaman Zionis, dan tidak pernah mengubah pendirian itu di pentas antarabangsa. 

Mengulas lanjut, Azman yang juga Ketua Pergerakan UMNO Baling menyeru semua pihak agar tidak memperlekeh urusan diplomatik negara.

“Malaysia mesti terus berdiri sebagai negara berdaulat yang dihormati kerana kebijaksanaan, bukan kerana retorik. Beradab tidak bererti tunduk, berdiplomasi tidak bermakna menggadai prinsip.

“Menjalin hubungan diplomatik tidak bermakna bersetuju dengan semua dasar pihak lain, sebaliknya membuktikan kematangan Malaysia sebagai pemain penting di rantau Indo-Pasifik.

“Sambutan diplomatik dengan sokongan terhadap dasar luar Amerika yang pro-Israel adalah kesimpulan yang tidak berasas,” katanya lagi.

Terdahulu pada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, turut mengadakan beberapa mesyuarat bilateral dengan pemimpin serantau.

Ia menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu serta inklusif.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada hadir ke sidang berkenaan.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas menyandangnya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO