UMNO BUKIT Gantang Prihatin, Tinjau Kawasan Terjejas Dan Salur Bantuan – Sollehin
KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie menegaskan bahawa UMNO Bukit Gantang sentiasa komited berada di barisan hadapan membantu rakyat yang terjejas akibat bencana atau kesulitan di kawasan itu.
Menurutnya, beliau telah turun padang meninjau sendiri keadaan di beberapa lokasi bagi menilai tahap kerosakan serta mengusahakan langkah segera agar bantuan dapat disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.
“Saya telah meninjau keadaan di lokasi bagi menilai tahap kerosakan serta mengusahakan langkah segera untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
“UMNO Bukit Gantang akan terus berada bersama rakyat di lapangan, memastikan setiap keluarga yang terkesan mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
“Sekiranya terdapat sebarang masalah atau keperluan mendesak, mohon segera maklumkan kepada kami supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut kata Sollehin, lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong yang menempatkan keluarga mangsa banjir melibatkan PPS Sungai Baru, PPS Kelubong, PPS Batu Hampar, PPS Padang Gajah dan PPS Temelok.
“Sehingga kini, lebih 100 buah keluarga telah berpindah ke enam PPS termasuk di Dewan Perdana Mukim Trong. Ini merupakan satu ujian besar buat kita semua, bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada seluruh Keluarga Trong untuk sama-sama berkongsi beban, menghulur tangan dan meringankan ujian yang ditanggung.
“Saya amat menghargai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh seluruh masyarakat, dari sukarelawan, JPKK, pihak keselamatan hinggalah kepada jiran-jiran yang tidak putus membantu memudahkan urusan semua mangsa.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita semua, melindungi setiap keluarga yang terkesan dan mengangkat musibah ini sebagai hikmah serta penghapus dosa,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengarahkan pasukan Pejabat UMNO Bahagian untuk turut meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa kawasan dalam DUN Kuala Sepetang termasuk menyampaikan sumbangan makanan di Taman Air Putih Permai.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam masa sama mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan negeri itu, manakala paras air di Sungai Kurau dan Sungai Kerian dilaporkan berada hampir ke tahap amaran.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak telah memaklumkan, PPS diaktifkan secara berperingkat bagi menampung peningkatan paras air dan jumlah penduduk terjejas. – UMNO Online
