Program Tanam Semula FELDA Palong 1 Bukti Komitmen Terus Meningkat

JEMPOL, 25 Okt – Program Tanam Semula FELDA Palong 1 membuktikan komitmen berterusan FELDA dalam memperkukuh pembangunan sektor perladangan serta kesejahteraan peneroka, apabila majlis penyempurnaannya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, semalam.

Ujarnya, program tanam semula ini melibatkan kawasan seluas 502.96 hektar dengan penyertaan seramai 104 orang peneroka. Tanaman baharu menggunakan klon sawit Yan Gambi ML-161, yang dijangka mampu memberikan hasil yang lebih tinggi serta ketahanan yang baik.

Mohd Zaidy menzahirkan penghargaan kepada pengurusan FELDA dan seluruh warga peneroka FELDA Palong 1 atas komitmen mereka dalam menjayakan program berkenaan.

“Syabas dan tahniah kepada pengurusan FELDA serta warga peneroka FELDA Palong 1 atas kesungguhan memastikan kejayaan program tanam semula ini. Semoga hasil tanaman baharu ini membawa rezeki berpanjangan dan manfaat kepada generasi peneroka akan datang,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, sehingga 23 Oktober 2025, sebanyak 31,953 pokok sawit telah ditanam daripada 74,296 pokok yang diterima untuk keseluruhan kawasan projek tersebut.

“Bagi kerja infrastruktur pula, pembinaan pagar sempadan baharu sepanjang 25,221 meter sedang berjalan sejak 1 Julai dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2025.”

Program tanam semula ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FELDA untuk memastikan kelestarian dan produktiviti tanah rancangan, di samping menjamin kesejahteraan ekonomi peneroka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO