Malaysia Sedia Tempa Sejarah Baharu Di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
PUTRAJAYA, 24 Okt 2025 – Malaysia kini berada di fasa akhir persiapan bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pagi Jumaat telah memberi tumpuan kepada penyelarasan terakhir persediaan negara menjelang sidang kemuncak berprestij itu.

“Alhamdulillah, segala persiapan berjalan lancar dan kini berada di fasa akhir pelaksanaannya. Insya-Allah, Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran para pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa dalam sidang kemuncak bersejarah ini,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa penganjuran sidang kemuncak kali ini bukan sahaja penting bagi memperkukuh kerjasama serantau, tetapi juga sebagai platform untuk menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sama-sama kita doakan agar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini berlangsung dengan jayanya, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia — disegani kerana wibawa, dihormati kerana kepimpinan,” tambahnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal menghimpunkan para pemimpin negara-negara ASEAN serta rakan dialog utama bagi membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi, politik, dan sosial rantau ini menuju masa depan yang lebih makmur dan mampan. – UMNO Online
