Agensi Keselamatan Negeri Digerak Bantu Mangsa Banjir Di Perak – MB
IPOH, 24 Okt – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kesemua jabatan dan agensi keselamatan negeri telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung, bagi mempercepatkan operasi pemindahan dan kerja-kerja menyelamat.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata tindakan pantas ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Serentak dengan itu, semua jabatan dan agensi keselamatan negeri telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas bagi mempercepatkan operasi pemindahan dan kerja-kerja menyelamat. Tindakan pantas ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.
“Pada masa yang sama, pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik, termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya lagi, setakat ini, sejumlah 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi telah digerakkan ke kawasan terjejas, terdiri daripada 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz, lapan ambulans, 12 kenderaan pacuan empat roda (4WD), serta 13 khemah (C-tent) dan pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih.
Tambah beliau aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh.
Saarani berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah digerakkan sepenuhnya bagi melaksanakan operasi menyelamat, menyalurkan bantuan awal dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terjamin.
“Kerajaan Negeri menasihati semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Aset logistik tambahan telah ditempatkan di lokasi strategik, manakala penghantaran bekalan keperluan asas dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap PPS mendapat bantuan yang mencukupi dan tepat pada masanya,” ujar beliau.
Untuk rekod setakat jam 8.00 pagi ini, sebanyak 22 PPS beroperasi iaitu 19 di Larut, Matang dan Selama serta tiga di Manjung yang menempatkan 759 keluarga dengan 2,171 mangsa. – UMNO Online
