Utamakan Keselamatan, JKM Siap Sedia Hadapi Banjir Di Perak – Salbiah

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Salbiah Mohamed menzahirkan rasa dukacita ekoran beberapa kawasan di negeri itu di landa banjir.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Perak mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar tidak berlengah untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa.

“Saya ingin menyeru semua penduduk di kawasan berisiko agar tidak menunggu saat akhir untuk berpindah. Keselamatan nyawa kita dan keluarga mesti diutamakan. Sekiranya diarahkan berpindah, segeralah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat.

“Insya-Allah Pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi penyelamat telah bersiap siaga sepenuhnya di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook bagi berkongsi perkembangan banjir di Daerah Larut Matang, Selama serta Manjung.

Salbiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, memaklumkan kerajaan negeri memberi jaminan bahawa setiap keperluan rakyat yang terkesan akan dijaga dengan sebaiknya.

Katanya lagi JKM juga telah melakukan persiapan penting dan rapi iaitu menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan selesa, menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas bagi setiap mangsa.

Menurut beliau ia termasuk memberi sokongan psikososial kepada keluarga yang terkesan dan menyelaras sumbangan dan sukarelawan agar bantuan sampai kepada semua mangsa dengan teratur.

“Bagi NGO (badan bukan kerajaan), pertubuhan atau individu yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing untuk penyelarasan bantuan.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala,” ujar beliau.

Salbiah turut memaklumkan sehingga jam 8.00 pagi tadi, banjir sedang melanda beberapa kawasan di Daerah Larut Matang dan Selama serta Manjung, melibatkan 2,171 mangsa daripada 759 keluarga yang kini ditempatkan di 22 PPS. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO