Ab Rauf Hargai Komitmen Penjawat Awam Pacu Transformasi Melaka
MELAKA, 23 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menzahirkan penghargaan tinggi terhadap seluruh penjawat awam negeri yang disifatkan sebagai tulang belakang kemajuan dan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, kejayaan dan kemajuan Melaka tidak akan tercapai tanpa kesungguhan serta komitmen warga perkhidmatan awam yang sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

“Saya amat menghargai peranan seluruh penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan negeri. Mereka sentiasa bersedia melaksanakan amanah dan tanggungjawab, merealisasikan agenda transformasi Melaka ke arah pentadbiran yang cekap, telus dan berintegriti,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka Tahun 2025 yang meraikan 458 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP), di sini hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Haji Arshad; serta EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Haji Rais Yasin, bersama Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tambah Ab Rauf, kerajaan negeri komited memperkukuh sistem penyampaian awam dan telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mencapai 90 peratus kadar kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan awam negeri menjelang 2026.
“Matlamat ini bukan sekadar angka, tetapi komitmen bersama ke arah membina budaya kerja cemerlang dan berintegriti. Saya menyeru semua penjawat awam agar terus menjunjung amanah dan bertindak bukan sekadar kerana diarahkan, tetapi kerana rasa tanggungjawab terhadap rakyat dan negeri,” ujarnya.
Beliau yakin dengan semangat serta integriti tinggi yang dimiliki, penjawat awam Melaka akan terus menjadi nadi penggerak utama menuju Melaka Lestari dan Sejahtera. – UMNO Online
