ADUN Parit Yaani Terus Prihatin, Santuni Rakyat Melalui Program Ziarah Kasih
BATU PAHAT, 24 Okt – Program Ziarah Kasih yang menjadi antara inisiatif tetap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, terus dilaksanakan sebagai usaha menyantuni masyarakat pelbagai lapisan di kawasan berkenaan.
Najib berkata, program itu memberi peluang kepada beliau bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan turun padang meninjau serta membantu masyarakat yang memerlukan pembelaan dan bantuan sewajarnya.

“Ziarah Kasih kali ini membawa kami ke rumah Abang Mohd Razib Sidek, yang kini merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.
“Kini beliau bekerja sebagai pekerja am di Bengkel Sampul Surat, Majlis Pusat Kebajikan Se-Malaysia, Batu Pahat, di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut Najib lagi, kehadiran beliau bersama pasukan serta sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu meringankan keperluan seharian keluarga berkenaan.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan program Ziarah Kasih dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada perhatian kerajaan negeri. – UMNO Online
