Zaini Salleh Pantau Naik Taraf Landskap Pintu Gerbang Bentong Timur

BENTONG, 23 Okt – Ketua UMNO Bahagian Bentong Datuk Mohamad Zaini Salleh, bersama Jawatankuasa Landskap dan Pelancongan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau tapak projek bina baharu dan kerja-kerja naik taraf landskap di Pintu Gerbang Bentong Timur, yang menjadi salah satu mercu tanda utama laluan masuk ke daerah Bentong.

Ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Landskap dan Pelancongan MPB, lawatan tersebut bertujuan menilai kemajuan projek serta mengenal pasti aspek-aspek yang memerlukan perhatian segera daripada pihak kontraktor bagi memastikan hasil akhir yang berkualiti dan selamat digunakan oleh orang awam.

Katanya, hasil tinjauan di tapak mendapati kerja-kerja pembinaan telah mencapai kemajuan sekitar 93 peratus, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan untuk memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk teguran daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung laluan masuk dan keluar di kawasan pintu gerbang yang memerlukan tindakan segera daripada pihak kontraktor bagi memastikan aliran trafik yang lebih selamat dan lancar.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan aspek keselamatan di tapak, terutama berkaitan kawasan tempat letak kenderaan, laluan keluar masuk, serta cadangan pemasangan ‘railing’ keselamatan yang memerlukan pertimbangan tambahan dalam bentuk ‘variation order’ (VO).

Turut diberi perhatian ialah keperluan penutupan longkang ‘sump’ dan kerja-kerja ‘shoring’ pada longkang di jalan utama, yang penting bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik serta tidak mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Zaini turut memaklumkan bahawa isu berkaitan papan tanda tulisan “light box” di Pintu Gerbang Bentong Timur yang sebelum ini menjadi perhatian, telah diambil tindakan oleh pihak pengurusan Majlis.

Menurut beliau, papan tanda tersebut akan ditukar dan diganti baharu di kedua-dua arah oleh sebuah syarikat lain yang telah dilantik.

“Lawatan kerja seperti ini penting bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja menepati jadual, tetapi juga mencapai tahap keselamatan dan estetika yang tinggi, khususnya di kawasan pintu masuk utama ke daerah Bentong,” katanya.

Lawatan tapak tersebut turut disertai oleh wakil JKR, pihak kontraktor utama, serta pegawai-pegawai teknikal daripada Majlis Perbandaran Bentong. Program lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPB untuk memperindah landskap daerah serta meningkatkan imej pelancongan Bentong, khususnya di laluan utama dari arah Kuala Lumpur. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO