Wisma Putra Perkukuh Strategi Diplomatik Seiring Perubahan Teknologi, Geoekonomi

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan komitmen Kementerian Luar dalam memastikan setiap dasar dan pendekatan diplomatik negara kekal relevan dengan perubahan pesat dalam landskap geopolitik, geoekonomi dan teknologi global.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perubahan dunia kini berlaku dengan begitu pantas dan mendalam, khususnya dalam bidang teknologi sehingga melebihi keupayaan sesebuah negara.

“Bagi mendepani ini negara kita, terutamanya Wisma Putra mengikuti perkembangan ini dan melihatnya sebagai satu cabaran yang mesti kita tangani secara berstruktur.

“Wisma Putra mengkaji dan menghantar pegawai-pegawai di pelbagai sektor bagi meningkatkan kepakaran mereka supaya kepakaran itu seiring dengan perubahan zaman dan teknologi terkini,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pada pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, Wisma Putra turut melihat perubahan ini sebagai cabaran yang perlu ditangani secara berstruktur dan strategik agar peranan Malaysia di peringkat antarabangsa tidak terjejas.

“Kerana sekarang ini semuanya berkenaan teknologi maklumat dan jika kerajaan Malaysia, terutamanya di peringkat Kementerian Luar tidak mengambil iktibar tentang perubahan yang berada di luar ini, kita tak mahu nanti satu hari diplomat-diplomat kita ketinggalan zaman,

“Itu sebabnya Wisma Putra sentiasa melalui Jabatan Pengurusan Sumber Manusia menghantar pegawai-pegawai terutamanya pegawai muda termasuk juga di peringkat diplomat, memanggil mereka menghadiri kursus-kursus bagi menguasai teknologi atau dapat menguasai pengetahuan-pengetahuan yang terkini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO