Program ‘Next Gen-Z’ Puteri UMNO Semarakkan Semangat Belia Sabah – Nurul Amal
KOTA KINABALU, 18 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia meneruskan usaha untuk mendekati generasi muda melalui penganjuran program ‘Fun Run’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bawah inisiatif ‘Next Gen-Z’, bagi membina jalinan erat bersama golongan belia negeri ini.
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata program tersebut bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, tetapi turut menjadi wadah kepada anak muda untuk menyuarakan pandangan dan harapan terhadap masa depan Negeri Sabah.
“Alhamdulillah… saya telah habis menganjurkan ‘Fun Run’ di sini. Pelbagai aktiviti terdapat dalam program ini. Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah merasmikan program Mooda-Desa ini.
“Melalui ‘World Of Hope’, Puteri UMNO ingin mendengar sendiri suara hati anak muda, apakah cabaran dan apa harapan mereka untuk masa depan Sabah.
“Program Mooda-Desa ini amat santai dan terdapat juga artis-artis tempatan yang turut hadir. Di samping itu, ada juga slot pengisian ilmu yang dijemput moderator dan panel yang terdiri dari wanita muda di Negeri Sabah ini,” katanya.
Turut hadir pada program Mooda-Desa ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Sabah, serta kepimpinan UMNO/BN Sabah.
Pada masa yang sama Nurul Amal melahirkan keyakinan terhadap semangat dan kesungguhan jentera wanita muda, khususnya Puteri UMNO, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
“Puteri UMNO sentiasa turun padang, melaksanakan gerak kerja terbaik untuk parti dan pastinya kami menantikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah kali ini,” katanya lagi.
Tambah Nurul Amal, PRN Sabah mempunyai cabaran tersendiri berbanding negeri lain, namun semangat perjuangan jentera UMNO/BN di peringkat akar umbi tetap utuh.
“PRN Sabah ini tidak sama seperti negeri-negeri lain, tapi apa yang kita mahukan adalah kemenangan dan kita mahu ‘Bikin Balik Sabah’,” tegasnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
PRN ini menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.
Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.- UMNO Online
