Johor Perlukan Pemimpin Bekerja, Bukan Hanya Berpolitik – Md Israk
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang hanya Berpolitik 24 jam, kata Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah.
Ujarnya, tidak ada sebarang halangan untuk mana-mana parti di Johor bertanding di mana-mana kerusi yang diingini.

“Saya mengambil maklum kenyataan Timbalan Pengerusi salah sebuah parti yang kononnya menolak sebarang rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) dan mendakwa kerjasama politik akan ‘mengelirukan pengundi’.
“Pertama sekali, UMNO Johor ingin menegaskan bahawa tidak ada sebarang halangan untuk mereka bertanding di mana-mana kerusi yang mereka suka. Jika benar beliau begitu yakin dengan kekuatan mereka di Johor, maka sila bertanding di mana-mana kerusi termasuk menentang BN kerana UMNO Johor sentiasa bersedia.
“Apa yang menarik, beliau seorang sahaja yang meroyan tentang kerusi, sedangkan tiada satu pun kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi parti tersebut yang memperkatakan soal agihan kerusi di Johor. Nampaknya, isu kerusi ini lebih menjadi obsesi peribadi beliau, bukan dasar rasmi partinya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, tiada gerak kerja jelas yang dilakukan di Negeri Johor untuk memenangi hati pengundi tetapi beliau hanya ‘meratib’ menuntut kerusi.
“Lebih menyedihkan, tiada gerak kerja jelas pun yang beliau lakukan di negeri Johor, apatah lagi di kawasan yang pernah diwakilinya. Sejak dari dahulu, beliau hanya tahu meratib dan menuntut kerusi, bukan membuktikan khidmat kepada rakyat.
“Semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, rakyat Johor boleh menilai sendiri apa sumbangan sebenar beliau kepada negeri dan rakyat?
“Apa legasi yang beliau tinggalkan untuk pengundi DUN Kota Iskandar? Bandingkan dengan kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Jafni Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor serta ADUN BN sekarang, termasuk Datuk Pandak Ahmad, ADUN Kota Iskandar yang jauh lebih banyak turun padang, bekerja untuk rakyat, dan membawa pembangunan ke kawasan tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor kini sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Sebab itulah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, rakyat Kota Iskandar menolak beliau kerana pengundi Johor matang dan tahu menilai antara pemimpin yang bekerja dan pemimpin yang hanya pandai bercakap.
“Dalam keadaan kerajaan negeri sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat, beliau pula sibuk menuntut kerusi. Ini bukti sikap kemaruk kuasa dan tidak mementingkan rakyat Johor.
“UMNO Johor menyeru rakyat untuk menilai sendiri sikap beliau. Adakah ini wajah pemimpin yang kononnya mahu membawa pembaharuan atau hanya pemimpin yang ghairah mengejar jawatan? Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang hanya berpolitik 24 jam,” katanya lagi. – UMNO Online
