Mohamad Hasan Santuni Komuniti India Rembau Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan khidmat bakti di kawasan dengan menyantuni masyarakat India sempena sambutan Deepavali yang bakal diraikan pada Isnin ini.

Beliau yang juga Menteri Luar turun padang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota dan Chembong bagi menyampaikan sumbangan kepada komuniti India yang memerlukan.

Di DUN Kota, majlis penyerahan berlangsung di Dewan Tai Jing Kong, Kampung Baru Legong Jaya dengan seramai 140 penerima terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal.

“Alhamdulillah, semoga pesta cahaya yang bakal disambut masyarakat India ini membawa sinar kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan buat semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau kemudian meneruskan program ke DUN Chembong, bertempat di Dewan Orang Ramai Pedas, bagi meneruskan penyerahan sumbangan kepada 284 penerima yang terdiri daripada warga emas berusia 70 tahun ke atas, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan.

Selain menyampaikan bantuan, beliau juga memanfaatkan kesempatan tersebut untuk bertanya khabar serta mendengar sendiri keluhan dan keperluan masyarakat setempat.

“Semoga sumbangan ini dapat memberi kelegaan dan menceriakan sambutan Deepavali buat semua penerima,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO