Belanjawan: Kerajaan Digesa Laksana Reformasi Fiskal Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendesak kerajaan untuk melaksanakan reformasi fiskal secara menyeluruh bagi memastikan kecekapan dalam pengurusan perbelanjaan kerajaan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelbagai projek yang dilaksanakan di negeri tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen dari Negeri Sembilan, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan khususnya YAB Tambun atas pelbagai projek yang diumumkan untuk Negeri Sembilan.
“Dalam meneliti Belanjawan 2026 ini, saya ingin menyentuh tentang keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi fiskal yang menyeluruh dan memastikan kecekapan dalam pengurusan perbelanjaan kerajaan.
“Ini penting kerana tahun 2026 menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan asas kepada kejayaannya bergantung pada sejauh mana kerajaan mampu mengurus kewangan awam secara berhemat, berdisiplin dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Dasar, di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Ujarnya, sebarang kelemahan dalam pengurusan perbelanjaan akan membawa kesan terhadap keupayaan negara membiayai pembangunan.
“Pertama, kita mesti mengakui bahawa struktur fiskal negara kini berada dalam keadaan yang agak mencabar. Defisit fiskal diunjurkan berada pada kadar 3.5 peratus pada tahun 2026, manakala nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 61 peratus, menjadikan ruang fiskal kerajaan semakin sempit.
“Dalam keadaan sebegini, sebarang kelemahan dalam pengurusan perbelanjaan boleh membawa kesan jangka panjang terhadap keupayaan negara membiayai pembangunan dan menunaikan tanggungjawab sosialnya.
“Oleh itu, saya berpandangan bahawa reformasi fiskal perlu digerakkan dengan lebih berani tetapi berhati-hati, sebab itu saya merasakan perlunya Kerajaan memperkenalkan indikator keberhasilan (Key Outcome Indicators) yang lebih jelas bagi setiap kementerian,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan juga disarankan untuk memperluas pelaksanaan ‘Outcome-Based Budgeting’ ke semua kementerian.
“Kedua, dari sudut kecekapan belanjawan, kita perlu berganjak daripada pendekatan ‘berbelanja untuk membelanjakan’ kepada perbelanjaan berasaskan impak dan keberhasilan sebenar.
“Ini bermakna setiap ringgit yang diluluskan oleh Parlimen mesti dapat menunjukkan pulangan yang nyata kepada rakyat, sama ada dalam bentuk peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan atau peningkatan taraf hidup.
“Saya menyarankan agar kerajaan memperluas pelaksanaan ‘Outcome-Based Budgeting’ ke semua kementerian dengan laporan penilaian setiap inisiatif atau projek yang diumumkan dalam Belanjawan, dibentangkan kepada Parlimen supaya akauntabiliti dapat dipertingkat, dan rakyat diberi maklumat tentang status terkini projek di kawasan mereka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kecekapan belanjawan bukan hanya tentang mengurangkan perbelanjaan, tetapi memastikan setiap sen dibelanjakan pada tempat yang betul.
“Saya bangkitkan perkara ini kerana terdapat beberapa projek yang diumumkan dalam Belanjawan-Belanjawan yang lalu, tapi secara fizikalnya masih belum dilihat sebarang perkembangan. Rakyat kadang-kala membangkitkan persoalan ini, dan sebagai Ahli Parlimen, saya sendiri tidak ada jawapan kepada persoalan mereka.
“Kecekapan belanjawan bukan hanya tentang mengurangkan perbelanjaan, tetapi memastikan setiap sen dibelanjakan pada tempat yang betul, pada masa yang tepat, untuk rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Inilah semangat yang perlu diterapkan dalam Belanjawan 2026 supaya dasar reformasi fiskal tidak dilihat sebagai pengurangan bantuan, tetapi sebagai satu strategi untuk menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan berkeupayaan jangka panjang,” katanya lagi. – UMNO Online
