Peralihan Sistem Baharu: Rakyat Berhak Dapat Penyelenggaraan Selamat, Berkualiti
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Rakyat berhak mendapat perkhidmatan penyelenggaraan yang selamat dan berkualiti, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan tawaran Request For Proposal (RFP) bagi kontrak penyelenggaraan Jalan Persekutuan telah diiklankan pada 14 Julai 2025 dan telah ditutup pada 8 dan 9 September 2025.

“Untuk makluman, tawaran RFP bagi kontrak penyelenggaraan Jalan Persekutuan telah dilaksanakan oleh Pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.
“Tawaran telah diiklankan pada 14 Julai 2025 dan telah ditutup pada 8 dan 9 September 2025. Kriteria-kriteria teknikal bagi RFP ini ialah minimum lima tahun pengalaman dan rekod prestasi dalam bidang penyelenggaraan prasarana jalan; memiliki pengalaman dan keupayaan sepenuhnya dalam melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan jalan infrastruktur jalan.
“Seterusnya, merupakan syarikat berdaftar G7 dan dibawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta mempunyai pengkhususan dalam kategori F01 (fasiliti bangunan infrastruktur am), CE01 (pembinaan jalan dan pavement), CE02 (pembinaan jambatan dan jeti) dan CE21 (kerja-kerja kejuruteraan awam) serta memiliki perakuan pendaftaran kontraktor dan sijil pilihan kerja kerajaan (SPKK) yang masih sah daripada CIDB.
“Terakhir, mempunyai sijil CIDB score yang sah dengan penarafan minimum tiga bintang. Terdapat penambahbaikan bagi skop kerja penyelenggaraan jalan persekutuan yang telah dimasukkan dalam dokumen RFP ini bagi kontrak penyelenggaraan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Elemen audit pihak ketiga akan dilaksanakan di bawah skop penyelenggaraan rutin dalam kontrak baharu.
“Elemen audit pihak ketiga akan dilaksanakan di bawah skop penyelenggaraan rutin dalam kontrak baharu penyelenggaraan jalan Persekutuan bagi meningkatkan akauntabiliti ketelusan dan integriti. Pemantauan dan pelaporan akan dilaksanakan secara lebih tegas dan terbuka, telus berintegriti di semua peringkat antara hubungan konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Di samping itu pada tahun 2025, kementerian ini juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34 juta bagi pelaksanaan ujian ‘pavement condition asessment’ (PCA) bagi keseluruhan jaringan jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia dan dilaksanakan secara arahan kerja kepada syarikat konsensi penyelenggaraan.
“Kerja-kerja ujian PCA ini dijangka akan selesai pada akhir Oktober ini. Sehubungan itu, melalui analisis ujian PCA ini, kementerian melalui JKR dapat mengenal pasti kualiti turapan jalan sedia ada bagi keseluruhan jaringan jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak di bawah seliaan kementerian ini.
“Oleh itu, rakyat berhak mendapat perkhidmatan penyelenggaran yang selamat dan berkualiti. KKR komited untuk memastikan peralihan pada sistem baharu ini,” katanya lagi. – UMNO Online
