Belanjawan 2026 Cerminan Komitmen Kerajaan Urus Ekonomi Secara Berhemah – Sh Mohmed Puzi
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali menyifatkan Belanjawan 2026 yang merupakan belanjawan sulung di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai cerminan komitmen kerajaan dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah dan berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global serta cabaran geo-ekonomi.
Beliau berkata, keunikan Belanjawan 2026 ialah tiada cukai baharu diperkenalkan, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat, kecuali beberapa penyesuaian kadar duti eksais bagi tujuan kesihatan awam.
“Kerajaan menaikkan duti eksais rokok sebanyak RM2 sebatang, manakala sigar dan cerut dinaikkan RM40 sekilogram serta duti eksais minuman keras sebanyak 10 peratus. Langkah ini bertujuan memastikan amalan kesihatan terbaik dalam kalangan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Namun pada masa yang sama beliau mengingatkan bahawa kenaikan tersebut boleh membuka ruang kepada kewujudan pasaran gelap dan penyeludupan bahan-bahan terbabit ke dalam negara secara berleluasa, justeru penguatkuasaan di sempadan perlu diperkukuh.
Menurutnya, Belanjawan 2026 turut menzahirkan iltizam tinggi kerajaan untuk menyekat ketirisan subsidi yang selama ini menjadi antara perbelanjaan terbesar negara.
“Subsidi sepatutnya dinikmati oleh rakyat tempatan dan bukan dimanfaatkan oleh warga asing. Maka, pelaksanaan penyasaran dan perasionalan subsidi adalah langkah tepat,” katanya.
Katanya lagi antara langkah penyasaran yang diambil kerajaan termasuklah penyusunan semula subsidi diesel dan petrol, penghapusan subsidi minyak masak tulen dua hingga lima kilogram, pengapungan harga telur serta pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
“Jika kita lihat, kerajaan sebelum ini menanggung subsidi sebanyak RM81 bilion pada tahun 2024, namun jumlah itu berkurang kepada RM49 bilion pada tahun 2026, menunjukkan usaha kerajaan membuahkan hasil.”
Bagi memastikan ketirisan dapat diatasi sebaiknya, Sh Mohmed Puzi mencadangkan supaya kerajaan menyalurkan peruntukan mencukupi kepada agensi kawalan dan perlindungan sempadan negara bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
“Tenaga kerja di agensi ini perlu mencukupi dan berintegriti. Saya mencadangkan tempoh minimum perkhidmatan anggota di satu lokasi dihadkan kepada tiga tahun bagi mengelakkan pembentukan sindiket dalaman yang boleh menjejaskan imej pasukan,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan mempertingkat penggunaan peralatan berteknologi tinggi seperti drone dan satelit untuk mengesan aktiviti penyeludupan, selain membuka peluang kepada penyelidik dan saintis tempatan mencipta peralatan baharu melalui geran penyelidikan atau program offset perolehan kerajaan.
“Peruntukan yang mencukupi juga perlu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan aset agar tugasan anggota tidak terganggu dan aset sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Sh Mohmed Puzi menegaskan bahawa natijah daripada pelaksanaan penyasaran subsidi akan membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan serta meningkatkan hasil negara, yang kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA dan lain-lain demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat. – UMNO Online
