Belanjawan 2026: MARA Terus Jadi Tonggak Utama Pembangunan Pendidikan – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus diberi kepercayaan besar oleh kerajaan apabila sebanyak RM6 bilion diperuntukkan bagi memperkasa pendidikan Bumiputera melalui MARA, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Belanjawan MADANI 2026.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan besar itu membuktikan keyakinan kerajaan terhadap peranan dan keupayaan ekosistem MARA dalam merealisasikan agenda pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan, TVET, keusahawanan dan pembangunan modal insan.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, MARA melalui GiatMARA turut diberikan tanggungjawab baharu untuk memprofesionalkan golongan Huffaz melalui ekosistem pendidikan MARA yang komprehensif.
“Banyak tambahan amanah dan fokus tanggungjawab disalurkan kepada MARA dalam Bajet 2026 termasuk meneruskan pembiayaan pelajaran pelajar dalam dan luar negara, membangunkan program pemerkasaan agenda TVET melalui 270 institusi TVET di bawah MARA seperti GiatMARA, IKM, KKTM, MJII, GMI dan UniKL.
“Selain itu, MARA juga akan memperkasa program profesional dan kemahiran di kalangan Huffaz Al-Quran serta melatih pekerja-pekerja gig dengan kemahiran teknikal dan vokasional,” katanya.
Dr Asyraf menambah, sebutan nama MARA sebanyak lapan kali dalam ucapan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 menunjukkan keyakinan tinggi kerajaan terhadap keupayaan institusi itu melaksanakan pelbagai agenda nasional meliputi Bumiputera, keusahawanan, TVET, pendidikan, tahfiz dan pekerja gig.
“Alhamdulillah, nampaknya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini semakin meyakini komitmen serta kualiti ekosistem MARA. Besar sungguh harapan negara dan rakyat kepada MARA,” ujarnya. – UMNO Online
