ePPAx Permudah Proses Pekerja Asing Di Malaysia – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) bukan mengawal kemasukan Pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis, menjelaskan segala urusan keluar masuk pekerja asing dan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sistem ePPAx pula dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Sistem ePPAx ini telah melalui tiga fasa pembangunan dan berintegrasi dengan pelbagai sistem bagi melancarkan proses permohonan penggajian pekerja asing dan pekerja bukan warganegara di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Ali (BN-Pekan) berkenaan status terkini pembangunan dan pelaksanaan Sistem Bersepadu Pengurusan Pekerja Asing (ePPAx) dan sejauh mana keberkesanannya dalam menyaring, memantau serta mengurangkan kemasukan PATI.
Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut memaklumkan pelaksanaan sistem digital itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 60K Akta Kerja 1955, selain turut digunakan bagi pengurusan lesen Agensi Pekerjaan Swasta (APS) serta aduan perburuhan.
“Sistem ePPAx sedang aktif digunakan bagi kelulusan permohonan awal penggajian pekerja asing selaras dengan peruntukan seksyen 60K Akta Kerja 1955, permohonan berkaitan Lesen Agensi Pekerjaan Swasta (APS) dan pengurusan aduan perburuhan,” ujar beliau. – UMNO Online
