Puteri UMNO Aktifkan Pelan Kesiapsiagaan Hadapi PRN Sabah

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah mengaktifkan pelan kesiapsiagaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebagai usaha memperkukuh jentera wanita muda di negeri itu.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai gerak kerja sejak awal tahun bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRN Sabah.

“Puteri UMNO mengetengahkan calon-calon wanita muda daripada sayap ini untuk diberi ruang dan menyerahkan senarai nama kepada pimpinan tertinggi BN sebagai cerminan kepada cita rasa pengundi muda Sabah yang progresif dan inklusif.

“Puteri UMNO beriltizam memastikan peranan wanita muda tidak hanya sebagai penggerak akar umbi, tetapi sebahagian daripada saf kepimpinan yang memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti serta membina masa depan politik Sabah berteraskan kestabilan demi kemakmuran.

“Puteri UMNO Malaysia sudah lama melakukan gerak kerja dari awal tahun sehingga sekarang bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Sabah ini,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Nurul Amal lagi, Puteri UMNO akan terus mendekati golongan muda menerusi pelbagai program santai yang berimpak.

“Untuk anak muda di Sabah pada 18 Oktober ini, Puteri UMNO akan berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan program yang dinamakan ‘Sabahan Culture Fun Run’.

“Kami berharap anak-anak muda di Sabah datang beramai-ramai menyertai program ini,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran program seperti itu bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi juga menjadi platform bagi Puteri UMNO mendengar suara dan aspirasi generasi muda di negeri berkenaan.

“Puteri UMNO ingin mengetahui apa yang diinginkan oleh anak-anak muda Sabah, dan kami bersedia menjadi suara kepada golongan muda Sabah, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,”ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO