Sekretariat Wanita Profesional Main Peranan Bantu Ibu Tunggal Bina Daya Tahan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita apabila terlibat dalam Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) yang berlangsung selama dua hari bermula 3 hingga 4 Oktober 2025 di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor.

Pengerusi SWP, Dr Masliha Harun, berkata program itu menjadi antara inisiatif utama bagi membangunkan potensi dan daya tahan golongan ibu tunggal dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.

Katanya, penganjuran KasihnITa selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan wanita yang berilmu, berdaya saing dan mempunyai keupayaan ekonomi yang mampan.

“Sekretariat Wanita Profesional (SWP) melalui Tasneem Anisa, Dr Ahmad Fakhri dan Dr Hasnor Safwan telah diberi kepercayaan menjadi penceramah dalam program berkenaan yang melibatkan pelbagai sesi interaktif dan bengkel latihan.

“Seramai 136 peserta dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak telah berkumpul bagi menjayakan program ini.

“Program ini merupakan inisiatif bagi memperkasa golongan ibu tunggal melalui pelbagai modul pembangunan potensi diri, peningkatan literasi kewangan serta advokasi hak-hak perundangan dan kemahiran tuntutan mahkamah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan usaha seperti ini bukan sahaja memperluas ilmu pengetahuan, malah mewujudkan jaringan sokongan komuniti yang kukuh antara ibu tunggal agar mereka saling membantu dan berkongsi pengalaman.

“Program KasihnITa turut mendapat sambutan positif daripada para peserta yang menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam memperkasakan peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan masyarakat.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperluas pengetahuan, malah menjadi platform memperkukuh jaringan komuniti ibu tunggal agar mereka lebih berdaya saing dan berdikari dalam menghadapi cabaran masa kini,” katanya lagi.

Program tersebut turut menerima maklum balas positif daripada para peserta yang menyifatkannya sebagai peluang berharga untuk meningkatkan kemahiran dan memperbaharui semangat dalam meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal yang berdikari, ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO