Belanjawan 2026: KKDW Komited Perkasa Komuniti Desa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Menjelang Pembentangan Belanjawan 2026 yang akan berlangsung pada hari ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menzahirkan komitmen untuk terus memperkasakan komuniti desa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan yang diberikan kepada KKDW melalui Belanjawan 2025.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan serta Kerajaan Madani atas sokongan padu yang telah diberikan kepada KKDW melalui Belanjawan 2025.

“Peruntukan sebanyak RM11.96 bilion yang diterima sebelum ini telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa agenda Desa Madani. Setiap sen peruntukan itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif nyata yang memajukan komuniti desa, memperkukuh ekonomi rakyat dan menambah baik infrastruktur luar bandar.

“Insya-Allah, KKDW akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dalam memastikan setiap dasar dan program Kerajaan memberi manfaat langsung kepada rakyat di seluruh pelosok negara,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengikut Pembentangan Bajet 2026 dan berharap ia akan terus membawa kemakmuran buat seluruh warga.

“Petang ini, kita akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri di Parlimen Malaysia yang pastinya bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama mengikuti pembentangan ini dan mendoakan agar Belanjawan 2026 terus membawa kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia, Insya-Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4.00 petang ini.

Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan Madani pimpinan beliau, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama untuk pelaksanaan pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO