Agenda Perumahan Berkualiti Bukti Komitmen Kerajaan Johor Prihatin Rakyat
ISKANDAR PUTERI, 9 Okt – Usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor memastikan rakyat memiliki kediaman berkualiti dan berdaya huni terus dizahirkan melalui pembangunan Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Iskandar Puteri Bangsa Johor yang kini menunjukkan kemajuan pesat.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek itu mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memastikan setiap rakyat Johor mempunyai tempat tinggal yang selesa dan berkualiti.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi lambang kepada keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat. Ia juga bukti kesungguhan Johor dalam menyediakan kediaman mampu milik yang menepati piawaian moden dan mesra rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas meninjau perkembangan projek berkenaan yang kini mencatat 70% kemajuan bagi Fasa 1 dan 30% bagi Fasa 2 di tapak pembinaan.
Ujarnya, projek ini menggunakan teknologi IBS (Industrialised Building System) bagi memastikan kualiti binaan lebih kukuh, tempoh pembinaan lebih singkat dan mesra alam iaitu sejajar dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan mampan serta efisien.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa Johor bukan sahaja fokus kepada kuantiti, tetapi juga kualiti dan kemampanan dalam setiap projek perumahan.
“Projek RMMJ Iskandar Puteri Bangsa Johor merupakan antara projek mampu milik terbesar di kawasan Iskandar Puteri, melibatkan lebih 2,000 unit rumah dalam tiga fasa utama dengan kategori harga RM150,000, RM250,000 dan RM300,000.
“Ia dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan pemaju tempatan berpengalaman, menjadikan ia model terbaik kolaborasi kerajaan dan swasta dalam menjayakan Agenda 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.”
Sebelum lawatan tapak, Mohd Jafni turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Layak Memiliki Rumah & pelancaran One Stop Centre (OSC) bagi Fasa 2 projek berkenaan.

Menurut beliau, inisiatif OSC membolehkan semua urusan dokumentasi pembelian rumah iaitu melibatkan bank, peguam dan agensi teknikal diselesaikan di satu lokasi dengan lebih cepat, cekap dan mesra rakyat.
“Inisiatif ini satu pembaharuan pentadbiran yang mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat proses pemilikan rumah. Ia melambangkan pentadbiran kerajaan yang moden, efisien dan berpaksikan rakyat, seiring semangat Maju Johor,” katanya.
Jelasnya lagi, setakat ini, lebih 7,900 permohonan telah diterima bagi unit Fasa 2, membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kualiti dan kredibiliti projek kerajaan negeri.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad; Ketua Eksekutif PKPJ Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Pengurus Besar KPRJ, dan wakil Melati Ehsan Holdings Berhad. – UMNO Online
