Pembangunan Semula Kampung Baru: Kepentingan Orang Melayu Perlu Diberi Perhatian – Adnan

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hasan mencadangkan agar pembangunan Kampung Baru dipandu oleh beberapa prinsip asas termasuklah kepentingan orang Melayu.

Menurutnya, kerajaan wajar menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pemantau yang dianggotai wakil penduduk, pakar profesional seperti jurutera dan arkitek serta pihak kerajaan sendiri.

“Kita tidak boleh mengabaikan peranan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) yang telah sekian lama menjadi institusi tadbir urus Kampung Baru. Apakah hala tuju Lembaga Pentadbiran MAS dalam konteks pembangunan baharu ini dan adakah ia akan terus diperkasakan atau diserapkan ke dalam struktur yang baharu.

“Kerajaan juga perlu memastikan pampasan dan insentif didedahkan secara terbuka. Segala bentuk bantuan yang diberikan sama ada pelepasan cukai, geran tanah tambahan atau skim perumahan gantian mestilah diumumkan dengan jelas agar rakyat tahu hak mereka dan tiada ruang untuk dieksploitasi oleh pemaju.

“Pembangunan Kampung Baru mesti menjadi model kepada perumahan mampu milik khusus untuk orang Melayu bandar, terutama golongan muda,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahas mengenai hala tuju pembangunan Kampung Baru ke arah pemerkasaan identiti melayu di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah harap agar roh Kampung Baru terus dipelihara.The fear of the Malays, must and should be addressed first. Kita tidak mahu kawasan ini berubah menjadi deretan kondominium mewah semata-mata. Mesti ada kuota rumah mampu milik untuk anak muda Melayu, ruang niaga untuk usahawan Bumiputera, dan pusat budaya yang menghidupkan warisan.

“Dengan cara ini, identiti demografi kawasan dapat dikekalkan dan pada masa yang sama memberi peluang generasi baharu menikmati kehidupan bandar tanpa terputus dari akar budaya mereka,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Adnan, pembangunan Kampung Baru bukan sekadar soal membina bangunan yang baharu, tetapi membina masa depan Melayu bandar yang berakar pada sejarah, budaya dan warisan.

“Kuala Pilah menyokong usaha kerajaan untuk memperkasa Kampung Baru sebagai mercu tanda identiti Melayu di tengah kota, dengan syarat prinsip keadilan, ketelusan dan keterlibatan komuniti sentiasa dijunjung.

“Tinggi harapan agar Kampung Baru akan menjadi model pembangunan moden yang tetap mengekalkan jiwa tradisi, sebuah simbol bahawa Melayu mampu maju dalam arus kemodenan tanpa kehilangan akar budaya,” ujarnya.

Ujarnya lagi, tidak mahu Kampung Baru hanya tinggal nama, dan orang Melayu pula sekadar menjadi penonton di tanah sendiri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO