Rais Yasin Terus Prihatin, Ziarah Rakyat DUN Paya Rumput Yang Diuji Kesihatan

MELAKA, 9 Okt – Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, terus menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat di kawasan yang diwakilinya dengan mengadakan siri ziarah kasih dan penyerahan bantuan kepada penduduk yang sedang diuji kesihatan.

Rais berkata, walaupun masa yang diluangkan bersama rakyat mungkin sekejap, namun ia amat besar maknanya kepada mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan dan memerlukan sokongan moral.

“Sedikit masa yang diluangkan, tapi besar maknanya bila dapat bertanya khabar dan menyantuni mereka yang diuji kesihatan,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau berkesempatan menziarahi Pakcik Adam dan Makcik Tengku Norgayah di Taman Cheng Jaya yang baru-baru ini terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Saya sempat menziarahi Pakcik Adam dan Makcik Tengku Norgayah di Taman Cheng Jaya yang baru sahaja terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Semoga kedua-duanya diberikan kesembuhan dan segera kembali sihat seperti sedia kala. Kita doakan bersama, Insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Rais turut menghargai usaha Setiausaha Japerun Paya Rumput yang mewakili beliau menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang lain di kawasan tersebut.

Antaranya ialah Zaitun Mon di Taman Bertam Jaya, Cheng, yang kini sedang berdepan dengan penyakit kencing manis kronik, serta Rahayu Mohd Thith, Guru Besar SK Kerubong, yang sedang diuji dengan penyakit saraf tulang belakang.

Tambah Rais, ziarah-ziarah sebegini bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi tanda kasih, keprihatinan dan sokongan moral daripada pihak wakil rakyat kepada penduduk setempat yang memerlukan perhatian.

“Ziarah ini sebagai tanda kasih dan sokongan moral buat mereka yang sedang berjuang melawan ujian kesihatan.

“Semoga Allah SWT kurniakan kesembuhan, kekuatan dan ketenangan kepada mereka berdua. Insya-Allah, pihak saya sentiasa ada buat rakyat DUN Paya Rumput,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyeru agar masyarakat setempat terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan buat semua yang sedang diuji serta mengamalkan sikap saling bantu-membantu sebagai satu komuniti yang prihatin.

“Setiap ujian datang bersama hikmah. Yang penting, kita terus peduli dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO