PRN Sabah Medan Rakyat Menilai Siapa Layak Mentadbir, Jangan Terpedaya Lagi
KOTA KINABALU, 9 Okt – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bukan sekadar membuka tirai pilihan raya baharu, tetapi menjadi medan rakyat menilai semula siapa yang benar-benar layak mentadbir negeri ini.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Bahagian Kota Kinabalu, Affaniezan Abdullah berkata, rakyat perlu mengingati semula rekod pentadbiran Parti Warisan yang pernah meninggalkan kesan mendalam terhadap Sabah, khususnya menerusi isu Pas Sementara Sabah (PSS).

Menurutnya, dasar PSS bukanlah sekadar urusan pentadbiran biasa, sebaliknya membawa risiko besar terhadap keselamatan dan kedaulatan negeri.
“Kononnya atas alasan mahu menyeragamkan dokumen lama seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, Warisan hampir mencipta ‘Project IC 2.0’ yang membuka ruang kepada penghalalan ratusan ribu pendatang asing di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Affaniezan menambah, walaupun angka rasmi yang diumumkan sekitar 136,000, namun rakyat sedar jumlah sebenar yang dibayangkan boleh mencecah sehingga 600,000 orang.
“Warisan hanya membatalkan dasar itu selepas kalah dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis pada 2020 iaitu bukan kerana insaf, tetapi kerana terpaksa tunduk kepada suara rakyat,” ujarnya.
Mengulas pembubaran DUN Sabah dan persiapan menuju Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), beliau menegaskan rakyat perlu berhati-hati agar negeri ini tidak sekali lagi menjadi bahan eksperimen politik.
“Apakah jaminan Warisan tidak akan mengulangi kesilapan lama seperti PSS atau menggadaikan masa depan Sabah atas kepentingan politik sempit?” soal beliau.
Affaniezan menegaskan BN dan UMNO Sabah kekal konsisten mempertahankan kedaulatan serta identiti negeri, memastikan Sabah kekal milik rakyat Sabah.
“Warisan sudah diberi peluang, dan mereka gagal. Kini tiba masanya rakyat menutup lembaran kegagalan itu untuk selama-lamanya,” tegasnya lagi. – UMNO Online
