Kekurangan Pegawai Di Pejabat Perwakilan Diatasi Selepas ASEAN – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Luar Negeri kini berdepan kekosongan jawatan sebanyak 287 pegawai, bersamaan 17 peratus daripada jumlah keseluruhan perjawatan 1,709 orang di Wisma Putra dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kekangan pengisian jawatan tersebut berpunca daripada kekurangan kuota yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun kementerian telah memohon untuk mengisi kekosongan berkenaan.
“Keseluruhan jawatan yang kita perlu ada 1,709 orang, tapi yang kita isi setakat hari ini sebanyak 1,422 orang sahaja — iaitu kekurangan 287 orang atau 17 peratus kosong.
“Kalau di Wisma Putra, di ibu pejabat kita ada kekurangan 97 jawatan, manakala di pejabat perwakilan luar negara pula terdapat 190 kekosongan,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3 Tahun 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, sebahagian besar tenaga kerja kementerian kini tertumpu kepada pengurusan Sekretariat ASEAN, berikutan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun ini.
“Selepas kita menyerahkan tanggungjawab pengerusi ASEAN kepada Filipina pada bulan Oktober ini, pegawai-pegawai yang membantu urusan sekretariat ASEAN akan dapat kita hantar semula ke pejabat-pejabat perwakilan yang mengalami kekurangan perjawatan ketara,” ujarnya.
Dalam pada itu, menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Bukit Bendera mengenai kegagalan beberapa kedutaan besar Malaysia di New Zealand, Singapura dan Vietnam mematuhi pengurusan aset alih seperti perabot dan komputer yang tidak direkod, Mohamad menjelaskan perkara tersebut berpunca daripada peralihan sistem manual kepada sistem berpusat.
“Apabila proses migrasi data dilakukan, ada aset yang tertinggal atau tidak sempat direkodkan kerana memerlukan maklumat terperinci seperti harga beli dan butiran lengkap. Kadangkala maklumat ini sukar diperoleh, menyebabkan ada aset yang terus tidak direkodkan,” jelasnya.
Beliau berkata, arahan telah diberikan supaya semua aset yang tidak direkodkan dikenal pasti semula dan tindakan pembetulan dilaksanakan.
“Saya telah arahkan supaya kita merekodkan semua aset yang tidak dapat direkodkan disebabkan ketiadaan dokumen asal. Kita juga akan memohon kelulusan daripada Kementerian Kewangan atau jabatan berkaitan sama ada untuk melupuskan atau mengesahkan aset berkenaan. Kita tidak mahu Kementerian Luar dilihat tidak mengambil tindakan terhadap laporan Ketua Audit Negara,” tegasnya. – UMNO Online
