Kementerian Kerja Raya Serius Tangani Isu Kelewatan Projek – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memandang serius isu kelewatan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negara dan telah melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata JKR telah menubuhkan beberapa inisiatif termasuk Program Intervensi berstruktur, Project Health Check, dan Jawatankuasa Project Problem Solving Governance (PSG) bagi memantau dan menyelesaikan projek-projek yang mengalami kelewatan.

“Selain itu, pegawai atasan JKR turut melaksanakan program turun padang bagi menilai keadaan sebenar di tapak projek, memantau prestasi kontraktor melalui mesyuarat berkala serta mengeluarkan surat peringatan atau amaran kepada kontraktor yang terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3 Tahun 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ahmad Maslan, bagi projek yang mengalami kelewatan antara 10 hingga 15 peratus, langkah intervensi akan dilaksanakan oleh Pengurus Program atau Pengarah JKR Negeri bagi menangani masalah di peringkat awal.

Sementara itu, Project Health Check pula merupakan satu pemeriksaan ringkas tetapi menyeluruh yang dijalankan oleh pengamal bertauliah bagi mengenal pasti status sebenar projek dan menilai tahap pengurusan risiko yang dilaksanakan.

“Bagi projek yang lewat melebihi 15 hingga 20 peratus atau tidak lebih dua bulan, kes akan dirujuk kepada Jawatankuasa PSG untuk meneliti punca dan cadangan penyelesaian, manakala projek yang mengalami kelewatan lebih dua bulan atau 20 peratus dan tidak berdaya maju akan dibawa ke Contract Coordination Panel (CCP) bagi menentukan langkah pemulihan atau penamatan kontraktor,” jelasnya.

Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa pemantauan berkala turut dijalankan setiap bulan melalui Mesyuarat Pemantauan Projek di peringkat Jabatan serta Kementerian.

“Selain itu, Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan turut diadakan setiap suku tahun yang saya sendiri pengerusikan. JKR turut mengambil cabaran untuk memastikan semua projek berada ‘ahead of time’ melalui pelaksanaan Mekanisme Amaran Awal dan Kewaspadaan (Alert and Early Warning Mechanism),” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO