Kerjasama Kukuh Persekutuan-Negeri Pacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan hubungan kukuh dan saling melengkapi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan penting dalam menjayakan sesuatu dasar pembangunan.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata ia bagi memastikan pelaksanaan dasar serta projek strategik dirancang secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat.
“Johor terus menegaskan komitmen untuk menyelaraskan pelaksanaan dasar dan projek strategik agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara seimbang di seluruh negeri.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat.
“Semoga segala keputusan dan pelan tindakan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, membawa kemajuan kepada negeri Johor serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat.
“Saya yakin Johor akan terus melangkah maju sebagai negeri yang makmur, sejahtera dan berdaya saing. Insya-Allah,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook berkongsi kehadirannya pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-147 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Katanya, mesyuarat tersebut menjadi wadah penting memperkukuh sinergi pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam merencana hala tuju pembangunan negara secara menyeluruh.
“Perbincangan kali ini menumpukan kepada kemajuan projek pembangunan, kesiapsiagaan menghadapi monsun, serta strategi pelaburan negara yang menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
