Komitmen Persekutuan-Negeri Tonggak Pembangunan Seimbang – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 8 Okt — Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan tonggak utama dalam memastikan pembangunan negara yang seimbang, selamat dan berdaya tahan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-147 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, mesyuarat tersebut menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan serta penyelarasan dasar antara kedua-dua peringkat kerajaan bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara berjalan lancar dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Ahmad Zahid turut berkesempatan meninjau reruai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mempamerkan replika Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) selain mendengar taklimat mengenai pelaksanaan program sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN2025).
“Insya-Allah, komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terus menjadi tonggak kekuatan dalam memastikan pembangunan negara yang seimbang, selamat dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online
