Pemuda UMNO Tolak Jadikan Arak Sebagai Majlis Kerajaan
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menolak sekeras-kerasnya percubaan mana-mana pihak untuk menjadikan arak sebagai simbol hak individu dalam konteks majlis rasmi kerajaan.
Beliau berkata, barisan Pemuda UMNO berdiri teguh mempertahankan prinsip hormat agama, jaga maruah, pelihara perpaduan sebagai asas keharmonian negara.
“Jangan bermain api dengan sensitiviti umat Islam kerana kenyataan provokasinya itu boleh membakar semangat perkauman dan menggugat perpaduan nasional.
“Jika tidak mampu mengawal lidah, maka lebih baik berdiam daripada menjadi batu api yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
“Jangan sampai kerana mulut celupar segelintir individu, kestabilan dan kehormatan yang kita bina selama ini hancur begitu sahaja,” katanya kepada UMNO Online.
Fariz Hazurin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang terkilan dengan kenyataan Datuk Teng Chang Khim yang menyindir teguran Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak.
“Beliau gagal memahami sempadan antara kebebasan bersuara dan menghormati kepercayaan agama orang lain. Isu yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri bukanlah soal politik peribadi, tetapi prinsip asas menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Sindiran ini bukan sahaja gagal memahami semangat perpaduan, bahkan hanya menyerlahkan kebodohan politik dan kegagalan merasai denyut nadi rakyat,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau, Malaysia bukan negara sekular bebas nilai, negara ini berasaskan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Apa jua majlis rasmi kerajaan seharusnya mencerminkan nilai adab, hormat dan tatacara yang sesuai dengan kedudukan tersebut.” tegasnya. – UMNO Online
