Tindakan Tegas Terhadap Kontraktor Ingkar Amanah, Senaraihitamkan Dan Lucut Lesen – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mencadangkan agar syarikat kontraktor dan pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawab atau amanah projek yang diberikan disenaraihitamkan oleh kerajaan serta dilucutkan lesen perniagaan mereka.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana kontraktor atau pemaju yang cuai atau ingkar dalam melaksanakan projek yang telah diamanahkan.

“Sekiranya tiada tindakan tuntas dan drastik diambil berhubung masalah ini, sudah tentunya kelemahan ini bakal merencatkan perjalanan pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Pihak kerajaan perlu mencari jalan untuk menoktahkan masalah kelewatan projek-projek Kerajaan, terutamanya yang berpunca daripada kelemahan pihak kontraktor atau pihak pemaju.

“Perkara ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan penyelarasan antara kementerian pelaksana, agensi teknikal dan Kementerian Ekonomi,” katanya ketika membahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu bagi tempoh 2021 hingga 2025 sehingga 31 Disember 2024, telah dilaporkan terdapat sebanyak 157 projek lewat jadual atau projek sakit yang melibatkan 18 Kementerian.

“KPM telah merekodkan bilangan projek sakit tertinggi yang berjumlah sebanyak 46 projek, diikuti KKDW sebanyak 34 projek, PETRA sebanyak 12 projek, KPT sebanyak 11 projek dan sebagainya.

“Lebih menyedihkan, terdapat empat projek sakit dengan peratus kelewatan fizikal melebihi 20 peratus yang telah mendapat dua hingga 10 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) dengan tempoh EOT sehingga 785 hari.

“Adakah kegagalan ini berpunca daripada kelewatan perolehan, perancangan yang tidak realisitik atau kelemahan penyeliaan di lapangan,” katanya lagi.

Tambah Isam lagi, LKAN ini bukanlah sekadar laporan kewangan, laporan ini merupakan cerminan kebertanggungjawaban Kerajaan terhadap rakyat dan tadbir urus Kerajaan.

“Akauntabiliti bukanlah sekadar slogan tetapi mestilah dibuktikan melalui tindakan. Selagi ketirisan, kelewatan projek dan pengurusan hasil yang lemah terus berlaku. Selagi itulah kepercayaan rakyat terhadap urus tadbir Kerajaan akan terus terhakis,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO