BPlant Perkukuh Pelaburan LTAT, Jadi Contoh Kejayaan Operasi

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Boustead Plantations Berhad (BPlant) bukan sahaja berperanan penting untuk memperkukuh pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) malah menjadi contoh bagaimana kejayaan operasi, inovasi dan kesejahteraan warga kerja dapat digerakkan seiring, selaras dengan semangat Malaysia Madani.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Ladang dan Kilang Sawit Nak BPlant semasa berada di Sandakan.

“Kesempatan berada di Sandakan turut saya manfaatkan dengan mengadakan lawatan kerja ke Ladang dan Kilang Sawit Nak BPlant Wilayah Sabah, salah satu syarikat di bawah LTAT.

“Lawatan ini memberi peluang untuk saya melihat dan menilai transformasi operasi BPlant yang kini melaksanakan inovasi pertanian moden seperti penggunaan dron dan mekanisasi ladang bagi meningkatkan kecekapan serta hasil pengeluaran.

“Kejayaan ini didorong oleh komitmen pegawai dan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan syarikat,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelaburan besar BPlant di Sabah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan di samping memperkukuh kestabilan, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti luar bandar.

“Sabah memainkan peranan amat penting dalam operasi BPlant, dengan sekitar 47 peratus daripada keseluruhan ladang syarikat terletak di negeri ini. Pelaburan besar BPlant di Sabah bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi turut memperkukuh kestabilan, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti luar bandar, selari dengan peranan strategik Sabah dalam keselamatan serta kemakmuran negara.

“Saya turut merasmikan Rumah Pegawai Ladang Nak dan menyaksikan penyampaian sumbangan kepada Sekolah Ladang Nak, sebagai sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BPlant terhadap kesejahteraan komuniti setempat serta kebajikan warga kerjanya.

“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen BPlant dalam meningkatkan produktiviti sambil memastikan kesejahteraan pegawai, pekerja dan komuniti sekitar terus terpelihara, seiring aspirasi menjadikan sektor perladangan lebih moden dan mampan.

“BPlant bukan sahaja berperanan penting dalam memperkukuh pelaburan LTAT, malah menjadi contoh bagaimana kejayaan operasi, inovasi dan kesejahteraan warga kerja dapat digerakkan seiring, selaras dengan semangat Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO