DUN Bubar: Rakyat Sabah Penentu, Pilihlah Pasukan Yang Bawa Kestabilan
KOTA KINABALU, 7 Okt – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa rakyat kini memegang mandat penuh untuk menentukan hala tuju negeri selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurut beliau, dengan pembubaran DUN semalam, kuasa kini telah dikembalikan kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu yang diyakini mampu membawa kestabilan dan kemajuan kepada negeri itu.
“Undi rakyat akan menjadi penentu. Pilihlah pasukan yang membawa kestabilan – bukan kekeliruan,” tegas Salleh menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau berkata, apa yang paling diharapkan rakyat ialah sebuah kerajaan yang kukuh, tidak mudah tumbang, mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan benar-benar fokus membantu rakyat.
Salleh turut menekankan keperluan Sabah memiliki hala tuju jelas dalam menarik pelaburan, menyelesaikan isu prasarana asas serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada generasi muda.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang berpandangan jauh dan konsisten, bukan sekadar slogan atau retorik politik,” tambahnya.
Dengan arena politik negeri kini kembali terbuka, Salleh menyeru rakyat menilai setiap calon dan parti berdasarkan rekod prestasi serta keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah ke-16 yang berkuat kuasa serta merta selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Menara Kinabalu.
Dengan pembubaran itu, Sabah kini ditadbir oleh kerajaan sementara dengan Hajiji kekal menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti. – UMNO Online
