Rozabil Santuni Anak Muda, Perkukuh Peranan Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menzahirkan kesyukuran dan berbesar hati melihat semangat tinggi yang ditunjukkan oleh golongan muda dalam usaha memperkukuh peranan UMNO di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, penglibatan aktif anak muda dalam perbincangan isu semasa jelas menunjukkan bahawa mereka mempercayai kepada platform diberikan dalam membawa perubahan dan perjuangan.

“Saya berkesempatan untuk berjumpa dengan para Pemuda dalam pusat daerah mengundi (PDM) Guar Gajah. Bangga dan seronok melihat kehadiran para pemuda ini yang ramai dan tampil bersemangat mengemukakan pandangan dan membahaskan isu-isu semasa anak muda dalam kawasan.

“Tahniah kepada Saudara Ayen selaku Ketua Pemuda Bahagian dan barisan ahli jawatankuasanya di atas segala usaha untuk membangkitkan kembali semangat dalam diri anak-anak muda ini.

“Saya berharap segala inisiatif untuk memperjuangkan isu dan mendampingi orang muda dalam Arau ini dapat diperhebatkan buat masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Rozabil turut berbesar hati turun padang menyantuni rakyat pada Sukan Bendang Parlimen Arau.

Menurut beliau program ini bukan sahaja berjaya menggalakkan semangat kesukanan, malah sebagai wadah memperkukuh perpaduan dan jalinan kerjasama di kalangan masyarakat setempat.

“Berkesempatan menghadiri Sukan Bendang Parlimen Arau pada Sabtu lalu yang diserikan dengan perasmian oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.

“Seronok saya melihat penglibatan ramai anak muda yang bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan kesatuan.

“Tahniah kepada MAPIM, RISDA dan UNIMAP di atas kejayaan penganjuran program. Syabas diucapkan kepada Saudari Rozieana dan pasukan kerana berjaya memastikan kelancaran karnival sukan tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO