Tiada Alasan Boleh Diterima Untuk Hidang Arak Dalam Majlis Rasmi
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berpandangan bahawa tidak ada alasan yang boleh diterima untuk menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
Ujarnya, insiden tersebut telah dicemari dengan kecuaian protokol dan perbuatan bertentangan dengan nilai Islam, adab serta budaya.

“Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang berlaku dalam majlis rasmi baru-baru ini, apabila arak telah dihidangkan dalam acara kerajaan yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan. Insiden ini bukan sekadar satu kecuaian protokol, tetapi bukti jelas kepada kegagalan Menteri Pelancongan dalam menjalankan tanggungjawab moral dan pentadbiran beliau.
“Sebagai seorang anggota kabinet yang membawa imej Malaysia ke peringkat antarabangsa, beliau seharusnya menjadi contoh kepimpinan beretika, bukan membiarkan majlis rasmi kerajaan dicemari dengan perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam, adab dan budaya negara.
“Ini bukan isu remeh, tetapi simptom kepada kegagalan kepimpinan Menteri Pelancongan dalam memahami sensitiviti umat Islam dan menjaga kehormatan imej negara. Jika seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap imej pelancongan pun gagal memastikan majlis rasmi dijalankan dengan tertib, sopan dan selaras dengan prinsip Islam serta budaya Malaysia, bagaimana rakyat mahu meletakkan keyakinan terhadap kemampuan beliau mengurus reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan beridentiti beradab serta bermaruah?” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan sejak bila pemain industri luar dibenar untuk mengambil alih dan menyumbang kepada makan malam gala kerajaan Malaysia.
“Lebih membimbangkan ialah persoalan yang timbul, sejak bila pemain industri luar dibenarkan mengambil alih dan menyumbang kepada penganjuran makan malam gala kerajaan Malaysia? Adakah terdapat kepentingan tersembunyi atau pertimbangan politik yang mendorong kementerian membenarkan pihak swasta menaja dan mengawal perjalanan majlis rasmi kerajaan? Jika benar, ini mencerminkan kelemahan serius dalam tadbir urus dan ketelusan kementerian tersebut.
“Pemuda UMNO Pokok Sena menegaskan bahawa tidak ada alasan yang boleh diterima untuk menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan. Malaysia adalah negara Islam yang menghormati kepelbagaian, namun prinsip agama tidak boleh diketepikan atas alasan ‘keterbukaan’. Tindakan ini bukan sahaja menghina Islam sebagai agama Persekutuan, malah menyentuh sensitiviti penjawat awam Muslim dan mencemar imej negara di mata dunia Islam.
“Lebih mendukacitakan apabila terdapat pihak yang tampil membela dan mempertahankan Menteri Pelancongan dengan alasan kononnya tindakan itu mencerminkan ‘kemodenan’ dan ‘toleransi’. Pemuda UMNO Pokok Sena menegaskan bahawa itu bukan toleransi, tetapi kejahilan yang disengajakan. Mereka yang menyokong perbuatan tersebut sebenarnya tidak memahami akar budaya negara dan secara tidak langsung membakar kemarahan rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa Menteri Pelancongan mesti bertanggungjawab terhadap insiden tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Oleh itu, Pemuda UMNO Pokok Sena menegaskan pendirian bahawa Menteri Pelancongan mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini. Beliau perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan menjelaskan bagaimana kegagalan pengawasan boleh berlaku dalam majlis di bawah kementeriannya.
“Perdana Menteri (PMX) perlu menunjukkan ketegasan moral dan politik dengan menegur serta mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan. Persoalannya kini, adakah PMX sanggup membiarkan seorang menteri di bawah pentadbirannya merosakkan kepercayaan rakyat dan mencemarkan maruah Islam demi kepentingan politik?
“Satu siasatan dalaman menyeluruh perlu dijalankan melibatkan aspek penajaan, peranan pemain industri, serta kelulusan penyediaan arak dalam majlis rasmi. Semua pihak yang terlibat mesti dikenakan tindakan sewajarnya. Kerajaan perlu menggubal garis panduan wajib dan tegas untuk semua kementerian, agensi serta GLC bagi melarang sama sekali sebarang bentuk penyediaan atau hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak akan berdiam diri apabila timbul sebarang isu berkaitan agama Islam.
“UMNO, berdiri teguh mempertahankan Islam sebagai asas pemerintahan negara dan tiang kepada perpaduan rakyat. Pendirian ini tidak akan berubah walau apapun bentuk tekanan politik. Oleh itu, UMNO tidak akan berdiam diri melihat seorang menteri yang gagal menjaga sensitiviti umat Islam serta maruah pentadbiran negara.
“Pemuda UMNO Pokok Sena menegaskan bahawa kemajuan pelancongan tidak boleh dijustifikasikan dengan menggadaikan nilai agama. Dunia tidak akan menolak Malaysia kerana kita menegakkan prinsip Islam, malah akan lebih menghormati kita kerana berpegang pada moral dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pemuda UMNO Pokok Sena berdiri teguh bersama kepimpinan parti dalam mempertahankan Islam, bangsa dan negara. Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, dan akan terus menjadi suara tegas menegur kepimpinan yang alpa,” katanya lagi. – UMNO Online
