Pemuda UMNO Lahad Datu Kecam Sindiran Terhadap TPM, Tegas Tolak Hidangan Arak Di Majlis Rasmi

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menentang sekeras-kerasnya kenyataan biadab yang dikeluarkan dengan menyindir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak di majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Seri Anil Sandhu berkata kenyataan seumpama itu amat tidak wajar dan menunjukkan sikap yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Terdahulu, menerusi hantaran di media sosial kenyataan terbabit menyebut “berlaku di Malaysia sahaja, yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk” dipercayai merujuk kepada penjelasan Ahmad Zahid mengenai majlis rasmi kerajaan yang didakwa menghidangkan minuman beralkohol.

“Pemuda UMNO Lahad Datu berdiri teguh bersama Presiden parti dalam mempertahankan maruah agama dan menghormati sensitiviti umat Islam di negara serta kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya menentang sekeras-kerasnya ada penyediaan arak pada majlis kerajaan. Negara ini majoritinya adalah rakyat Melayu/Islam dan janganlah mengadakan minuman arak pada majlis tersebut seperti meniru budaya negara Barat.

“Kita tidak melarang sesiapa dari mengadakan majlis masing-masing, tetapi jangan sampai ‘kurang ajar’ mengeluarkan kata-kata menghina. Mengatakan mereka yang hadir ‘mabuk’, termasuk yang tidak meminum arak, adalah satu penghinaan dan tidak boleh diterima,” katanya kepada UMNO Online.

Anil yang juga Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan agar hidangan arak tidak dibenarkan dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.

“Sebagai pemimpin dan rakyat yang menghormati nilai-nilai Islam, semua pihak perlu menjaga adab dan pertuturan dalam mengulas isu-isu berkaitan agama dan budaya bangsa.

“Sebarang sindiran atau penghinaan terhadap perkara yang melibatkan agama Islam tidak wajar sama sekali dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama,” tegasnya.

Beliau juga menyeru agar semua pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik dalam menjaga keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

“Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus mempertahankan maruah Islam dan menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, budaya dan adat resam bangsa,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO