UMNO Konsisten Pertahan Nilai Islam, Sokong Pendirian Presiden – Mohd Asna

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menentang hidangan arak di mana-mana majlis rasmi kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berharap cadangan Timbalan Perdana Menteri untuk membawa isu ini ke mesyuarat kabinet akan mendapat pertimbangan serius serta diluluskan oleh Kerajaan Perpaduan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Belum pernah lagi dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan dihidangkan arak seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga dengan pendirian Kerajaan Negeri Sembilan, selagi mana program yang melibatkan kerajaan negeri yang selalunya ada penglibatan syarikat-syarikat swasta, hidangan arak adalah tidak dibenarkan.

“Belum pernah lagi mana-mana program kerajaan yang saya hadir, walaupun program dianjurkan oleh exco ataupun menteri yang bukan beragama Islam ada dihidangkan arak.

“Malah di Seremban pernah beberapa kali saya hadir pada program Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan meminta saya membaca doa untuk pembukaan majlis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan berkata budaya rakyat di Negeri Sembilan ialah saling hormat-menghormati, sentiasa menjaga sensitiviti bangsa dan agama yang boleh menjadi contoh di seluruh Malaysia.

“Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga melarang arak diminum di kawasan terbuka seperti taman permainan, pantai peranginan atau pun tempat-tempat terbuka. Ia juga disambut oleh Exco.

“Malah Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Kerajaan Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan juga turut menyokong dan tegas menegakkan undang-undang melarang arak diminum tempat awam.”

Tambah Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu lagi, walaupun ada sedikit rugi kerana pelancong-pelancong bukan Islam tidak berminat tinggal di hotel yang tidak menjual minuman arak, namun kerajaan tetap bertegas dengan pendirian tidak menjual arak di hotel milik kerajaan.

“Pernah ada seseorang mengadu kepada saya berkenaan adanya pelancong dari Jepun yang mengeluh dan berpindah dari Hotel Allson Klana milik kerajaan yang didudukinya kerana hotel tersebut tidak menjual minuman arak,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO