Tambah Baik RUU URA, Ambil Kira Kepentingan Dan Keperluan Rakyat
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diperhalusi dengan baik bagi mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat.
Beliau yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU Akta URA berkata ia tidak ditolak sepenuhnya kerana pembangunan semula penting mengambil kira keperluan tersusun seiring dengan pembangunan negara.
“Kita tidak menolak kerana perlukan pembangunan-pembangunan ini kerana sudah 68 tahun merdeka. Jadi kalau dulu 1957, apa yang berlaku? Kita ada Urban Development Authority (UDA) untuk bangunkan kawasan-kawasan setinggan di bandar-bandar.
“Akhirnya sekarang ni kita hampir kosong setinggan tapi selepas 68 tahun, ada projek-projek yang sudah berusia terlalu lama malah sebahagian daripadanya kelihatan usang.
“Jadi di sinilah kita hendak akta ini sama ada perlu atau tidak buat pembangunan semula? Kalau tidak, macam mana ubah suai balik maknanya pembangunan semula ini adalah jalan terakhir,” katanya.
Johari berkata demikian seusai Konvensyen URA yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan konvensyen ini beliau menyimpulkan bahawa URA dianggap tidak komprehensif dan meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab oleh pelbagai pihak.
Katanya ramai pihak berpendapat kerajaan perlu melihat semula dan memperbaiki URA ini, selain meneliti kesesuaian dengan 10 akta lain yang berkaitan supaya tidak berlaku pertindihan.
“Apabila kita bercerita soal pembangunan semula tidak hanya tertakluk kepada perumahan juga kena dilihat daripada bangunan komersial yang telah terbengkalai.
“Macam saya bagi ucapan saya tadi macam Plaza Rakyat, berpuluh tahun terbengkalai begitu kemudian ada lagi projek-projek komersial yang membina hotel pun terbengkalai 30 tahun jadi ini akan melibatkan pandangan bandar kita ini sudah tidak begitu baik,” ujar beliau. – UMNO Online
