Ahli PPBM Keluar Parti, Langkah Bijak Demi Perpaduan Ummah – Mustafa Musa
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Mustafa Musa menzahirkan penghargaan kepada 101 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Masjid Tanah yang mengambil keputusan keluar parti serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap hala tuju perjuangan parti itu.
Beliau yang juga Senator Dewan Negara menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah bijak dan berani demi masa depan politik negara yang lebih stabil serta berpaksikan kepada perpaduan ummah.
“Tahniah kerana meninggalkan wadah politik sempit PPBM yang berasaskan kebencian, kepentingan diri, dendam dan fitnah. Ayuh… bersama-sama merasai suara dan nurani rakyat, bukan mendabik dada dengan politik retorik yang memecahbelahkan.
“Syabas kepada 101 ahli PPBM Masjid Tanah yang keluar daripada parti serta merta. Ramai lagi ahli-ahli parti itu akan mengambil langkah yang sama selepas ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Mustafa yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, langkah tersebut adalah keputusan matang yang menunjukkan kesedaran dalam kalangan ahli-ahli akar umbi untuk kembali kepada perjuangan sebenar yang memupuk perpaduan dan mengangkat martabat bangsa.
“Ia adalah satu langkah bijak demi kelangsungan perjuangan dan perpaduan ummah. Tindakan matang bagi memastikan perjuangan seterusnya berpaksikan politik kebenaran, kebajikan rakyat dan pembangunan negara.
“UMNO sentiasa terbuka menerima kembali ahli yang ikhlas untuk bersama dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan negara tanpa terikat dengan politik sempit, kepentingan peribadi mahupun sentimen kebencian,” katanya lagi.
Tambah beliau, perkembangan tersebut membuktikan bahawa rakyat kini semakin bijak menilai sesebuah parti politik berdasarkan keikhlasan perjuangan dan bukannya sekadar retorik. – UMNO Online
