RUU URA Perlu Banyak Penambahbaikan, Ambil Kira Keperluan Semua Pihak

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Wakil UMNO Zon Tengah, TPr Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ataupun URA perlu banyak penambahbaikan yang mengambil kira keperluan semua pihak.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong berkata, status demografi asal sesuatu kawasan perlulah dikekalkan selepas ia dibangunkan.

“Saya ingin menekan bahawa status demografi asal sesuatu kawasan dan perumahan tersebut perlu dikekalkan. Kalau boleh kita masukkan perkara tersebut dalam RUU ini. Kalau kawasan tersebut asalnya 70 peratus demografinya adalah orang Melayu, maka ia perlu dikekalkan.

“Kalau kawasan tersebut kampung tradisi, maka identitinya perlulah dikekalkan. Di dalam cadangan saya juga kategori jenis rumah perlu diasingkan seperti rumah pangsapuri, kondominium, rumah teres… lihat apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru.

“Apabila peratusan ataupun ambang antara rumah pangsapuri yang sedia ada dan rumah teres disekalikan oleh pemaju demi menjustifikasikan ‘threshold’ pembangunan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Konvensyen PSB di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, kejayaan pelaksanaan RUU URA ini hanya boleh diukur dengan berapa banyak komuniti asal dipertahankan selepas kawasan tersebut dibangunkan.

“Sesungguhnya pembangunan semula bandar ini tanpa keadilan adalah merupakan suatu penindasan. Malah sebagai perancang bandar saya percaya bahawa kejayaan RUU ini kita tidak boleh ukur dengan berapa banyak menara, bangunan baharu yang kita bina tetapi berapa banyak komuniti asal dipertahankan.

“Pada pandangan saya, RUU ini perlu banyak penambahbaikan dan juga perlu mengambil kira keperluan semua pihak tanpa diluluskan secara tergesa-gesa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO