Konvensyen Usul RUU URA Ditangguh, Tuntut Perlindungan Hak Pemilik Hartanah
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar hari ini menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar bagi membolehkan kajian semula menyeluruh dilaksanakan.
Konvensyen berpendapat draf RUU berkenaan mengandungi banyak kelemahan yang boleh menjejaskan hak pemilik hartanah serta membuka ruang kepada eksploitasi pemaju.

Menurut resolusi yang dibentangkan, pembangunan semula bandar diperlukan berikutan banyak kediaman di kawasan bandar yang uzur dan tidak lagi sesuai didiami selepas lebih 68 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Namun, konvensyen menegaskan sebarang pembangunan semula tidak boleh mengorbankan kepentingan pemilik hartanah dan komuniti sedia ada tanpa perlindungan yang jelas dan menyeluruh.
Konvensyen turut menggesa kerajaan mengambil kira 14 cadangan yang dikemukakan bagi menutup kelompongan RUU sedia ada sebelum ia dibentangkan..
Konvensyen mencadangkan tiga resolusi utama iaitu:
a) Menuntut rang undang-undang pembaharuan semula bandar tidak terus dibentangkan sehingga ianya digubal semula bagi mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
b) Menggesa kajian semula menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta-akta sedia ada. Sementara menunggu rang undang-undang pembangunan semula bandar digubal semula.
c) Mengusulkan Penubuhan Urban Redevelopment Authorities. Konvensyen mengusulkan agar sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar, penjanaan semula bandar dan penyenggaraan semula bandar untuk memastikan kelancaran suatu pembangunan semula dan menyelesaikan pertikaian di antara penduduk, pemilik dan pemaju.
Konvensyen seterusnya menegaskan bahawa pembangunan semula bandar perlu dilaksanakan secara terancang, menyeluruh dan berimbang, dengan kepentingan rakyat serta hak pemilik hartanah sebagai keutamaan.
Sehubungan itu, kerajaan digesa menangguhkan pembentangan RUU-URA sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan serta cadangan yang dikemukakan konvensyen.
Seramai 12 pembahas daripada pelbagai latar belakang mengemukakan pandangan masing-masing selain mereka yang hadir turut diberikan peluang untuk mengemukakan soalan dan melontarkan pendapat berhubung URA.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan UMNO lain turut hadir mendengar sendiri segala lontaran daripada pembahas yang menyertai konvensyen berkenaan.
Resolusi kemudiannya diserahkan oleh Ketua Pasukan Khas UMNO untuk Penambahbaikan RUU Akta URA kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online
