UMNO Sabah Kecam Tindakan Israel Halang Bantuan Sumud Flotilla

KOTA KINABALU, 3 Okt – UMNO Negeri Sabah mengecam keras tindakan rejim Israel yang menahan para sukarelawan antarabangsa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan, meskipun Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa sukarelawan akan dihantar pulang, persoalan utama tetap kekal iaitu mengapa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang menderita dihalang?

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa, prinsip kebebasan navigasi serta hak asasi manusia.

“Kapal flotila ini tidak membawa senjata atau mengancam mana-mana negara. Ia hanya sarat dengan ubat-ubatan, makanan dan bantuan asas untuk rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penahanan itu membuktikan keangkuhan Israel yang mempolitikkan bantuan kemanusiaan selain meneruskan sekatan zalim ke atas Gaza. UMNO Sabah berpandangan isu ini bukan hanya soal penahanan sementara atau penghantaran pulang sukarelawan, sebaliknya menyentuh persoalan lebih besar iaitu sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.

“Selagi bantuan kemanusiaan disekat, rakyat Palestin terus dihukum secara kolektif. Israel tidak boleh berlindung di sebalik alasan keselamatan untuk menafikan hak hidup rakyat Palestin,” tegas beliau.

Sehubungan itu, UMNO Sabah mendesak komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), agar segera bertindak ke atas rejim Israel. Tindakan menahan kapal awam di perairan antarabangsa disifatkan sebagai jenayah unilateral, manakala sekatan ke atas Gaza jelas bercanggah dengan Resolusi PBB 1860 (2009) dan Resolusi 2417 (2018).

“UMNO Sabah berdiri teguh bersama semua sukarelawan flotila dan rakyat Palestin. Keberanian mereka adalah simbol solidariti kemanusiaan menentang penindasan. Dunia tidak boleh terus berdiam diri,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO