Krisis Keyakinan Rakyat Bukan Pada UMNO Johor Tapi Terjadi Dalam PH – Adham
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr Adham Baba percaya sokongan terhadap parti di pelbagai peringkat negeri itu masih kukuh dan dakwaan pelbagai pihak kononnya ahli UMNO mula beralih arah adalah satu pembohongan semata-mata.
Menurut beliau rata-rata di akar umbi khususnya termasuklah di cawangan-cawangan serta bahagian masih berjalan lancar dan gerak kerja parti melalui proses seperti biasa termasuklah proses mesyuarat di peringkat cawangan dalam masa terdekat.
“Krisis keyakinan kepada kerajaan Pakatan hari ini lebih tinggi nampaknya. Resam rakyat terutamanya di bawah masih berjalan seperti biasa. Sesi-sesi penjelasan terhadap perkara baru mereka tentu gembira termasuklah isu penyatuan ummah yang hebat diperkatakan hari ini yang mana menimbulkan tanggapan salah pelbagai pihak.
“Ini akan kita perjelaskan kepada masyarakat di bawah sana dan juga kepada rakyat seluruhnya. Masa untuk bergerak secara keseluruhan pelbagai peringkat demi kepentingan bersama,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut beliau turut mengambil kesempatan mengulas soal kerjasama antara UMNO dan PAS yang sama sekali untuk kepentingan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.
Apa yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak tambahnya adalah cubaan untuk menggagalkan kerjasama berkenaan dan pandangan-pandangan sinis sedemikian rupa perlu ditolak dan itulah yang akan dilaksanakan nanti.
“Penyatuan ummah ini kita nak mengukuhkan lagi bahawa kita nak mengikut apa yang berlaku sepertimana piagam madinah. Tidak meminggirkan mana-mana agama yang mahu diamalkan dan ini adalah Perlembagaan.
“Dan kalau ada usaha untuk mengubah Perlembagaan kitalah yang akan mempertahankan dan ini adalah komitmen dan ini adalah janji kita,” ujarnya. – MediaUMNO