Dewan Rakyat: Jempol Bangkit Isu Pegang, Simpan Kad Pengenalan Individu Lain
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli telah membangkitkan dan mempersoalkan mengenai amalan mana-mana individu untuk memegang atau menyimpan kad pengenalan orang lain.
Ini kerana katanya, Peraturan 8A dalam Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 memperuntukkan bahawa memegang atau menyimpan kad pengenalan orang lain adalah suatu kesalahan.
“Jempol juga ingin menarik perhatian Dewan Rakyat mengenai amalan yang masih berlaku premis-premis tertentu, termasuk kondominium dan pejabat, memperlihatkan pengawal keselamatan meminta serta menyimpan MyKad pelawat sebagai syarat masuk.
“Jempol merujuk Peraturan 8A, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan bahawa memegang simpan kad pengenalan orang lain adalah suatu kesalahan.
“Apabila MyKad dipegang pihak ketiga tanpa kawalan, risiko pendaftaran palsu, pencurian identiti, malah transaksi tidak sah boleh berlaku. Keadaan ini jelas bercanggah dengan tujuan utama pindaan Akta ini yang mahu memperkukuh perlindungan maklumat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat di sini sebentar tadi mengenai Akta Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendaftaran Negara (Pindaan 2005).
Ujarnya, isu pengendalian fizikal MyKad di lapangan perlu diuruskan dengan lebih serius dan berharap agar kerajaan menetapkan garis panduan tegas untuk mengekang isu tersebut.
“Sebaliknya, penggunaan sistem imbasan sementara atau kad pelawat alternatif wajar diwajibkan. Jika pindaan ini benar-benar mahu meningkatkan integriti sistem pendaftaran negara, maka isu pengendalian fizikal MyKad di lapangan perlu diurus dengan serius agar dokumen pengenalan rakyat tidak terus diperlakukan secara cuai.
“Persoalan Jempol, apakah usaha kerajaan dalam menetapkan garis panduan tegas dalam melarang sama sekali penyimpanan MyKad oleh pengawal keselamatan atau mana-mana pihak selain pihak berkuasa?
“Jempol menyokong dasar RUU ini kerana ia membawa pembaharuan penting dalam memperkukuh sistem pendaftaran negara, selaras dengan cabaran semasa. – UMNO Online