Kerajaan Negeri Perak Giat Laksana Pewartaan Semula HSK – Johari

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak secara aktif giat melaksanakan pewartaan semula hutan simpan kekal (HSK), kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perkara tersebut dilakukan untuk menggantikan semula kawasan HSK yang telah dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan.

“Berdasarkan rekod daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, jumlah pewartaan keluar hutan simpan kekal (HSK) di Negeri Perak pada tahun 2018 sehingga 2024 adalah sebanyak 13,402 hektar.

“Pewartaan keluar ini antaranya melibatkan keperluan kawasan untuk tujuan pertanian, penempatan orang asli, pembinaan lebuh raya dan utiliti lain seperti di kawasan jana kuasa.

“Namun begitu, kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak secara aktif giat melaksanakan pewartaan semula bagi menggantikan kawasan yang telah dinyahwarta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Parlimen, di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, jumlah HSK yang telah diwartakan semula di Negeri Perak adalah sebanyak 6,149 hektar sehingga tahun 2024.

“Sehingga tahun 2024 jumlah keluasan HSK yang telah diwartakan semula di Negeri Perak adalah sebanyak 6,149 hektar.

“Di Perak kita ada tiga kategori tanah. Pertama ialah HSK, setakat hari ini di Perak ada 986,000 hektar. Kemudian, kita ada hutan tanah kerajaan yang berkeluasan 24,500 hektar.

“Kita juga ada kawasan perlindungan 5,100 hektar. Jadi, ketiga-tiga inilah hutan yang masih kekal di Negeri Perak,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79