Penjara Baharu Sibu Bakal Gantikan Fasiliti Sedia Ada, Kawalan Keselamatan Terkini
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kerajaan menerusi Jabatan Penjara Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap isu kesesakan di Penjara Sibu yang telah melebihi kapasiti asal iaitu sebanyak 57 peratus.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata kesesakan sekaligus memberi impak kepada kesejahteraan banduan serta operasi harian institusi.
“Kerajaan telah meluluskan projek pembinaan Penjara Baharu Sibu yang bakal menggantikan fasiliti sedia ada yang sudah berusia dan tidak lagi mampu menampung jumlah penghuni semasa.
“Penjara baharu ini akan mempunyai kapasiti 1,000 orang banduan yang merangkumi blok kediaman moden, kemudahan kawalan keselamatan terkini yang menepati piawaian antarabangsa berasaskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Shamsul berkata demikian pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, tempoh pembinaan dijangka mengambil masa tiga tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada bulan Disember 2028 tertakluk kepada kelulusan teknikal dan peruntukan tahunan yang diterima.
“Kos keseluruhan bagi projek ini dianggarkan melebihi RM300 juta, meliputi kos pembinaan, penyediaan infrastruktur sokongan, sistem keselamatan elektronik serta pelbagai kemudahan lain yang diperlukan.
“Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia komited memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan mampu memberi impak positif kepada sistem kepenjaraan, khususnya di Zon Tengah Sarawak,” ujar beliau. – UMNO Online