Pendakwaan Dr. Akmal: Ujian Demokrasi dan Cabaran Naratif Politik

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, bakal didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan di media sosial yang didakwa boleh mengganggu ketenteraman awam.

Pendakwaan ini bukan sekadar satu proses undang-undang. Ia membawa bersama pelbagai implikasi terhadap landskap politik negara, kredibiliti institusi perundangan, dan hala tuju naratif perjuangan UMNO di era pasca-PRU15.

Pendakwaan ini seakan mahu mematikan karakter Akmal yang dikenali sebagai tokoh lantang dalam isu patriotisme dan kebajikan umat Islam, khususnya berkaitan insiden Jalur Gemilang. Hantaran beliau di Facebook yang disifatkan sebagai mempertahankan maruah negara kini menjadi asas kepada pertuduhan jenayah.

Persoalan timbul — sejauh mana sempadan kebebasan bersuara bagi ahli politik dalam demokrasi moden sebelum dianggap sebagai satu bentuk ugutan ketenteraman awam?

Sebenarnya, secara tidak langsung, pendakwaan ini memberi impak kepada parti UMNO itu sendiri.

Bagi kelompok sederhana, tindakan ini mungkin dianggap sebagai bukti bahawa retorik keras tidak lagi diterima masyarakat dan institusi. Jika tidak ditangani dengan naratif matang, ia boleh merencatkan usaha UMNO memulihkan keyakinan awam.

Namun, bagi penyokong tegar dan akar umbi, Akmal dilihat sebagai simbol keberanian dan ketegasan. Pendakwaan ini berpotensi menjadi titik tolak kebangkitan semula semangat solidariti Pemuda UMNO, seperti yang dizahirkan melalui seruan kehadiran beramai-ramai ke mahkamah.

Rentetan ini membuatkan kes tersebut mengundang perhatian rakyat terhadap beberapa isu utama. Ketelusan Institusi mula dipertikai, adakah pendakwaan ini bersifat profesional dan bebas daripada campur tangan politik.

Selain itu, nasib pemimpin muda dalam mengutarakan idea juga menjadi satu persoalan. Apakah ruang bersuara bagi pemimpin generasi baharu semakin sempit pada era Kerajaan Madani.

Walau bagaimanapun, apa jua keputusan mahkamah kelak, hakikatnya naratif baharu telah bermula malah UMNO kini berhadapan satu detik penting — antara meneruskan kelantangan atau menyesuaikan perjuangan dengan tuntutan zaman.

Yang pasti, rakyat sedang memerhati:
Bukan hanya siapa yang dihukum, tetapi siapa yang tetap teguh berprinsip.


Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79